PASAKKAN LANGKAH MENGHARUNG CABARAN

PASAKKAN LANGKAH MENGHARUNG CABARAN

Tuesday, 5 September 2017

Cara Sihir di hantar kepada mangsa





CARA2 SIHIR DIHANTAR KEPADA MANGSA



1) Memuja gambar

Terdapat cara untuk menganiayai orang lain dengan cara memuja gambar orang yang ingin di khianati seperti gambar tersebut di seru dan di jampi serta di cucuk-cucuk dengan jarum atau di gantung di sesuatu tempat yang berangin supaya sentiasa berbuai. Selain gambar, alat-alat badan seperti pakaian, baju dalam atau seluar dalam seseorang juga boleh digunakan sebagai alat untuk memuja dan menganiayai seseorang terutamanya dalam penganiayaan yang berkaitan dengan masalah cinta, rumah tangga dan kasih sayang.

Dalam zaman teknologi dan berkembangnya penggunaan media sosial, kita suka memuatnaik gambar-gambar kita ke laman sosial seperti facebook, twitter dan lain-lain. Ini sebenarnya akan mendedahkan gambar-gambar tersebut untuk digunakan bagi tujuan sihir.
.
.
2) Menanam barang-barang sihir

Barang-barang tertentu yang telah di puja dan di jampi oleh Tok Bomoh seperti minyak dagu, minyak berpuja (minyak orang mati di bunuh), telur ayam, kulit kerbau balau yang mati di panah petir, tulang orang mati, tulang babi, tulang kongkang, paku, rambut, gigi, patung siam, tanah kubur, tengkorak, batu tokong siam atau tokong Hindu, serpihan batu asah dan sebagainya.

Barang-barang tersebut ditanam di tempat-tempat yang biasa di duduki dan dilalui oleh mangsa seperti di rumah, di dalam pasu bunga, depan pintu, dekat pagar, kepala simpang jalan, diselit di tempat-tempat sulit samada di rumah, di pejabat, di kedai, di dinding, bawah rumah, dalam kenderaan atau jika barang tersebut jenis debu seperti abu orang mati, maka ia ditabur di sekeliling rumah orang tersebut dan sebagainya. Jika barang hikmat itu berupa minyak berpuja kebiasaannya disapu di tiang rumah, kedai, kenderaan, pakaian dan sebagainya.

Selain dilakukan rawatan ruqyah dengan menggunakan ayat-ayat suci al-Quran, sebolehnya barang-barang yang ditanam dicari dan dikeluarkan. Jika tidak, kemungkinan besar sihir itu akan terjadi semula.
.
.
3) Memuja patung sebagai pengganti orang yang dizalimi

Pemujaan patung yang di puja dan diqasadkan kepada orang yang dihajati juga kerap dilakukan oleh orang-orang yang dengki dengan tujuan untuk memporak perandakan kehidupan orang tersebut. Patung-patung tersebut di cucuk dengan jarum atau duri nibong dan sebagainya dengan tujuan supaya orang yang dihajati akan merasa sakit dan mati secara perlahan-lahan.
.
.
4) Tuju melalui angin/makanan

Sihir juga boleh dilakukan dengan cara membuat tuju kepada orang yang ingin di sakiti dan di hantar melalui angin contohnya seperti santau angin atau dengan memuja tengkorak orang mati di rumah tok bomoh dengan di tuju dan di qasadkan kepada orang yang dihajatinya. Penganiayaan juga boleh dilakukan dengan memasukkan sesuatu hikmat ke dalam makanan dan minuman seseorang.

Ini adalah antara empat cara menghantar sihir yang paling kerap digunakan. Semua antara kita berisiko untuk disihir. Oleh itu mintalah perlindungan kepada Allah dari kejahatan manusia sebagaimana yang disebut dalam surah al-Falaq, ayat 1 hingga 5:

“Katakanlah (wahai Muhammad): Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang menciptakan sekalian makhluk (1). Dari bencana makhluk-makhluk yang Dia ciptakan (2). Dari bahaya gelap apabila ia masuk (3). Dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan) (4). Serta dari kejahatan orang yang dengki apabila dia melakukan dengkinya (5)”

Wednesday, 14 June 2017

Beberapa faktor pesakit tidak sembuh 2..



Antara soalan yang biasa diajukan oleh pesakit,

“Kenapa penyakit gangguan jin saya tak sembuh-sembuh? Dah puas saya berubat.”
.
Terdapat banyak faktor yang menyebabkan gangguan jin, penyakit sihir, saka dan sebagainya tidak dapat diubati sepenuhnya. Antara faktor berlaku sedemikian adalah seperti :
.
1. Tiada keyakinan teguh pada diri pesakit dan tiada penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah SWT

“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka) : sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.” (Al-Baqarah: 186)
.
2. Masalah yang dialami adalah sebagai dugaan, ujian, kifarah dosa-dosa, dan peningkatan darjat ke atas diri pesakit selagi mana pesakit terus beriman kepada Allah SWT.

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.” (Al-Ankabut: 2-3)
.
3. Berpunca dari perawat yang mengamalkan perubatan yang berdampingan dengan jin (khadam). Hal ini juga boleh menyebabkan masalah bertambah rumit.
.
4. Diri pesakit atau rumah pesakit yang masih didiami oleh jin dengan adanya unsur-unsur yang disukai oleh jin seperti tangkal, azimat, barang-barang lama seperti keris, batu, kayu, kain dan seumpamanya yang berunsur syirik atau khurafat.
.
5. Rumah pesakit sunyi daripada aktiviti kerohanian seperti solat, membaca Al-Quran, alunan ayat suci Al-Quran dan amalan-amalan kerohanian lain.
.
6. Suasana rumah yang dipenuhi perkara-perkara sia-sia dan maksiat seperti pesta bebas, sering didendangkan lagu-lagu atau nanyian yang melalaikan atau seumpamanya.
.
7. Gangguan jin yang berpunca dari salasilah keturunan (saka) yang disebabkan oleh amalan ilmu, perjanjian oleh datuk nenek moyang pesakit atau keturunan sejak berpuluh tahun lalu.
.
8. Pesakit sering dilawati oleh atau tinggal serumah dengan orang-orang yang didampingi jin (samada disedari atau tidak).
.
9. Pesakit sering pergi ke tempat-tempat yang didiami oleh jin seperti kawasan hutan, air terjun, kedai makan yang menggunakan pelaris jin (tangkal, azimat, dan sebagainya), tempat-tempat kotor, dan sebagainya.

wallahu a'lam..



Friday, 7 April 2017

Bolehkah Jin Ditangkap & Dimasukkan Dalam Botol?



Selain menulis artikel tentang tanda gangguan jin, saya juga suka menulis artikel tentang perkara-perkara yang saya dengar dari pesakit-pesakit yang pernah datang mendapatkan rawatan.

Antara cerita menarik untuk dikongsikan ialah tentang kebolehan seseorang menangkap dan memasukkan jin ke dalam botol.

Pernahkah anda mendengar cerita ada orang mengatakan yang dia ada kebolehan untuk menangkap jin dan memasukkannya ke dalam botol?

Atau anda sendiri memang pernah berjumpa dengan mereka yang mendakwa memang ada kemampuan untuk melakukan perkara tersebut?

Saya nak kongsikan tajuk ini dengan anda kerana sepanjang pengalaman 5 tahun merawat mereka yang mempunyai tanda gangguan jin, pernah juga beberapa kali berjumpa pesakit yang datang ke pusat rawatan dengan membawa botol mineral kosong.

Bila saya tanya nak buat apa dengan botol itu, katanya nak saya masukkan jin yang ada dalam badannya, ke dalam botol tersebut. Serius, bila saya dengar kenyataan tersebut, saya nak tergelak pun ada.

Persoalan penting di sini, bolehkah kita mempercayai dakwaan tersebut? Benarkah ada manusia biasa, yang boleh menangkap jin dan masukkan dalam botol?

Untuk menjawab persoalan ini, tiada jalan lain melainkan kita kembali kepada petunjuk al-Quran dan Sunnah Rasul s.a.w yang mulia.
Kepercayaan Masyarakat Melayu

Masyarakat Melayu memang dari dahulu terkenal memiliki pelbagai kepercayaan karut, hinggalah pada zaman moden sekarang ini. Terutamanya hal-hal yang berkaitan dengan makhluk halus atau jin.

Pelbagai dakwaan karut yang dikeluarkan, dan kebanyakannya bertentangan dengan apa yang telah diajarkan oleh agama Islam sendiri. Dari pengalaman dan pengamatan saya, mereka yang mempercayai kepercayaan mengarut ini biasanya kurang mendalami tentang ilmu Tauhid.

Istilah yang digunakan di dalam al-Quran yang merujuk kepada makhluk halus ialah jin, syaitan, Iblis, Ifrit dan beberapa istilah lain yang terdapat di dalam hadis.

Pernah berlaku di zaman Rasulullah, di mana ketika itu Baginda sedang mengimamkan solat di Masjidil Haram. Tiba-tiba para sahabat melihat Rasulullah s.a.w seperti mengelak sesuatu dan kemudian seperti memegang atau menangkap sesuatu yang mereka tidak nampak.

Selepas selesai menunaikan solat, para sahabat bertanyakan kepada Rasulullah tentang perlakuan Baginda ketika di dalam solat tadi. Lalu Baginda menerangkan bahawa ketika sedang menunaikan solat tadi, Ifrit telah datang menggangu Baginda.

Ifrit itu telah menggunakan obor api dengan niat untuk menggangu Baginda. Lalu Baginda mengelak dari nyalaan obor api tersebut daripada terkena muka, lalu menangkap Ifrit tersebut.

Baginda ingin mengikat Ifrit tersebut pada salah satu tiang Masjidil Haram supaya ia dapat dilihat oleh manusia lainnya.

Tiba-tiba Baginda teringatkan doa Nabi Sulaiman a.s yang memohon kepada Allah agar kekuatan yang ada pada Nabi Sulaiman, boleh menawan dan menangkap serta mengurung makhluk halus, tidak diberikan kepada orang selepas dari baginda.
Lalu Baginda s.a.w pun melepaskan Ifrit tersebut setelah merasakan lidahnya mula mengena pada lengan Baginda.

Hadis yang menerangkan kisah di atas boleh anda rujuk dalam kitab karangan Imam An-Nasa’i, Al-Sunan Al-Kubra, Kitab As-Sahwu, Bab Al-Akhozu Bi Halqi Asy-syaiton Wa Khonaqhu Fis Solah, no hadis 551.

Mafhum hadis tersebut berbunyi:

“Syaitan telah datang menggangu solatku, lalu aku pegang lehernya dan mencekiknya hingga dapat aku rasakan lidahnya yang sejuk pada tanganku. Jika tidak kerana doa Nabi Sulaiman a.s, nescaya akan aku ikat syaitan itu untuk tontonan kamu”

Dari hadis di atas, dapat kita fahami bahawa Rasulullah s.a.w sendiri tidak pernah menangkap atau menambat Iblis, bahkan jauh sekali untuk memasukkannya ke dalam botol, untuk dibuang ke mana-mana tempat.

Baginda cuma mengelak apabila diganggu. Baginda menangkap Ifrit disebabkan mengganggu baginda ketika solat.

Walaupun Nabi Muhammad s.a.w teringin untuk menambat Ifrit, namun apabila Baginda teringat doa Nabi Sulaiman a.s, baginda tidak jadi melakukannya.

Oleh itu, pada pandangan saya, jika ada sesiapa yang mengaku ada kebolehan atau kemampuan untuk menangkap dan memasukkan jin ke dalam botol, atau apa sahaja sepertinya, saya harap anda sendiri boleh menilai samada nak mempercayai atau tidak kenyataan tersebut.

Perkara tersebut tiada asasnya dalam agama. Makhluk halus (jin, syaitan, Iblis dan sebagainya), diciptakan oleh Allah daripada api (bukan fizikal).

Kuasa api merupakan kuasa cahaya yang boleh melepasi tembok. Sekiranya kita mengurungnya di dalam bekas, seperti botol yang diperbuat dari kaca yang telus cahaya, bermakna makhluk halus boleh masuk dan boleh keluar.

Jadi, bagaimana mungkin sesuatu yang bentuknya bukan fizikal hendak dimasukkan ke dalam sesuatu yang berbentuk fizikal?

Botol merupakan benda fizikal sedangkan makhluk halus bukan fizikal. Makhluk halus adalah api yang terjadi daripada unsur cahaya, kelajuannya sama seperti kelajuan cahaya. Tidak ada gunanya ia dimasukkan ke dalam botol kerana makhluk tersebut boleh masuk dan keluar pada bila-bila masa.

Nabi Sulaiman a.s dan Nabi Muhammad s.a.w boleh menangkap makhluk halus kerana mereka ialah Rasulullah (utusan Allah). Namun, tidak terdapat langsung amalan para sahabat atau tabiin yang menangkap makhluk halus untuk dimasukkan ke dalam botol.

Kalaulah benar ada yang mendakwa mereka diberi kelebihan oleh Allah untuk menangkap makhluk halus, sudah tentulah para sahabat Rasulullah yang mulia lebih layak diberikan kelebihan tersebut.

Perkara yang digalakkan kepada mereka yang mempunyai tanda gangguan jin adalah berikhtiar untuk mengelakkan gangguan makhluk halus dengan mengamalkan membaca al-Quran seperti yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w, iaitu membaca surah al-Baqarah, ayat Kursi, dan sebagainya.

Dengan membaca ayat-ayat al-Quran, ma
khluk halus akan menjauhkan dirinya atau mengeluarkan dirinya daripada badan manusia.

Nasihat saya, janganlah kita terlalu mudah mempercayai dakwaan dari sesetengah orang yang mengatakan mereka mampu atau diberikan kelebihan untuk menangkap makhluk halus dan memasukkannya ke dalam botol, atau yang seumpamanya.
Wallahu ‘Alam (Allah yang lebih Mengetahui)

Thursday, 9 March 2017

APAKAH ITU SAKA (Sambungan)?



Saka adalah jin pendamping yang diturunkan dari satu generasi ke satu generasi secara langsung atau tidak langsung.
1. Secara langsung ialah melalui pengijazahan/penyerahan dari generasi terdahulu sama ada melalui ungkapan dan sebagainya.
2. Secara tidak langsung jin ini akan memilih mana-mana ahli keluarga untuk didamping tanpa disedari. (sekiranya generasi terdahulu tidak sempat memberitahu ataupun menyerahkannya).
.
Ramai yang tidak boleh menerima hakikat apabila diberitahu penyakit mereka ada kaitan dengan saka atau diberitahu bahawa mereka ada SAKA. Ini kerana kita tidak ada pengetahuan tentang saka dan apabila kita faham bagaimana hubungan saka dalam kehidupan generasi terdahulu maka kita tidak boleh menafikan kewujudannya sehingga hari kiamat
.
GANGGUAN SAKA


Gangguan saka terbahagi kepada 6.
1- Gangguan fizikal
2- Gangguan Mental
3- Kekeluargaan
4- Zuriat
5- Rezeki
6- Keharmonian hidup
.
1- Gangguan fizikal terbahagi kepada 2:
a) Nampak- kesan lebam, bengkak, kudis, keracunan darah.
b) Tidak nampak- mengadu sakit di tempat tertentu, hati sentiasa berdebar-debar, gangguan haid. Ada pesakit yang tidak datang haid bertahun-tahun. Atau haid yang tidak normal.
Sakit yang apabila dirujuk ke hospital, buat ujian tetapi Doktor tidak dapat mengesahkan punca. Contoh sakit Tiroid, tetapi bila buat ujian darah hormon seimbang.
.
2- Gangguan Mental:
a) Bagi lelaki- sikap panas baran yang melampau, bagi perempuan sikap cemburu yang keterlaluan.
b) Halusinasi- sampai peringkat bercakap sendirian.
c) Terdengar suara-suara halus
Jika tidak di rawat akan berakhir dengan sakit mental/gila
.
3- Gangguan Kekeluargaan:
Keluarga pecah belah, sentiasa tidak bersependapat, bermusuhan, panas. Hubungan suami isteri sentiasa bergelora. Hal kecik jadi punca pergaduhan. Suami/isteri memandang pasangan tanpa rasa cinta.
Selalunya hubungan ibu dgn anak sulong sentiasa tidak kena..Ibu macam mencari kesalahan anak.
.
4- Gangguan Zuriat:
a) Masalah Jodoh- Bagi lelaki/perempuan yang belum berumahtangga sukar mendapat jodoh-bujang terlajak. Kalau lelaki suka, perempuan yang tidak suka atau sebaliknya.
b) Sekiranya sudah berkahwin lambat dapat anak/ tidak dapat anak. Dapat anak cacat sama ada cacat fizikal/mental.
Gangguan sukar untuk hamil paling banyak terjadi kerana, saka ini telah memusnahkan sperma sebelum sempat disenyawakan. Adakalanya anak dalam kandungan gugur.
.
5- Gangguan Rezeki:
Rezeki sempit, setiap apa yang diusahakan seolah tidak menjadi. Buat business tak untung, susah nak dapat kerja.
.
6- Gangguan keharmonian hidup:
Masalah pergaduhan, hati sentiasa berdebar-debar. Hubungan di antara sesama rakan/jiran tidak mesra dsb. Mempunyai sikap suka menyendiri dan tidak pandai bergaul. Sentiasa ada rasa tidak puas hati, iri dan dengki terhadap orang lain.

Sedikit perkongsian yang diberikan. Wallahua’lam..


Tuesday, 7 February 2017

Adakah Rumah anda Ada Tanda2 Gangguan Makhluk Halus??



Ciri-ciri rumah berhantu:

1. Kebiasaannya rumah yang 'berpenghuni' / berpenunggu / berhantu adalah rumah nampak suram dan muram. Rumah tersebut kebiasaannya kelihatan tiada 'nur' atau hilang keceriaan atau serinya.


2. Seringkali terdengar bunyi-bunyi aneh dan menyeramkan khususnya pada waktu malam. Lebih-lebih lagi selepas dua belas tengah malam. Antara bunyi yang biasa kedengaran adalah bunyi barang jatuh, balingan batu, hilaian ketawa, orang menangis, bayi merengek, bunyi tapak kaki dan pelbagai lagi bunyi yang menakutkan.

3. Rumah yang terdapat banyak kelawar yang terdapat di bahagian syiling atau atapnya. Kebiasaannya syiling dan kawasan rumah dipenuhi tahi kelawar. Ini mengundang jin bertandang ke rumah anda. Ini kerana sebahagian jin suka kepada tempat kotor seperti tempat yang dipenuhi najis kelawar.

4. Selalunya, rumah yang berpotensi mengalami masalah gangguan makhluk halus adalah rumah yang diperbuat daripada kayu kayan bukit.

5. Rumah yang tidak terjaga rapi kebersihannya daripada sebarang kotoran seperti sampah sarap, sisa-sisa makanan dan najis haiwan seperti najis kelawar, burung dan haiwan ternakan.

6. Rumah yang berhantu adalah kebiasaannya mengandungi gambar-gambar benda hidup dan gambar yang tidak direstui syarak, patung-patung serta sebarang perhiasan yang tidak menggambarkan biah atau suasana keIslaman yang sebenar.

7. Berkaitan dengan penghuninya pula, selalunya penghuni rumah berhantu ini terdiri daripada mereka yang kurang pegangan agamanya seperti malas menunaikan solat, tidak menutup aurat dan memasang lagu-lagu yang tidak masyru'.....(melanggar syara')

Kesimpulannnya peliharalah rumah anda dari sebarang kemaksiatan agar terhindar dari diceroboh oleh makhluk halus....

Jika terdapat permasalahan berkenaan rumah anda yang mengalami masalah ini, silalah menghubungi mana-mana perawat Islam untuk 'memagarnya'.
Powered By Blogger

Peta Lokasi